Perihal Dunhill, British American Tobacco dan KWSP


Tengah hari tadi aku duk sembang kat cafe opis aku dengan kawan-kawan yang merokok duk bercerita pasal harga rokok sekarang. Depa semua dah bertukar ke rokok entah jenama apa aku pun tak tahu sebab aku dah lebih 10 tahun berhenti merokok.

Dulu aku memang layan Dunhill dan pada masa itu harganya RM4.50 untuk 14 batang. Tapi sekarang katanya dah mencecah RM17 sekotak untuk 20 batang. Wow… gila! Seorang kawan bagi tahu kalau syarikat British American Tobacco (BAT), pengeluar Dunhill katanya nak tutup kedai kat Malaysia, dan nak pindah ke Indonesia.

Sebabnya jualan rokok dikatakan merudum habis sejak kerajaan terus menaikkan cukai tembakau dan terpaksa dijual pada harga tinggi. Meletupnya rokok elektronik atau vape menambah sakit kepala kepada pengeluar rokok di negara ini. Hemmm…. baguslah!

Tup-tup petang ini aku terbaca laporan mengatakan KWSP nak jual share mereka dalam BAT Malaysia. Laaa… rupanya rokok yang aku hisap 10 tahun dulu tu juga hasil pelaburan duit aku sendiri dalam KWSP. Bak kata P. Ramlee.. masuk angin keluar asap!

Aku yakin bukan semua rakyat Malaysia terutama perokok-perokok ini tahu bahawa wang simpanan mereka di KWSP juga digunakan untuk melabur dalam syarikat pengeluar rokok. Sebelum ini katanya pelaburan KWSP patuh syariah, tidak melabur dalam syarikat pengeluar produk “haram”, alih-alih ada cerita pasal BAT. Apa cerita yeop?

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (EPF) merancang menjual pegangannya dalam British American Tobacco (BAT) pada harga yang wajar, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya (Pelaburan) Datuk Mohamad Nasir Ab Latif.
KWSP memiliki 6.7 peratus pegangan langsung dalam syarikat tembakau itu dan memiliki 0.7 peratus menerusi pengurus dana luar.
“KWSP dari segi sejarahnya tidak pernah melabur dalam saham perjudian atau saham alkohol. Malahan, kami tidak lagi melabur dalam saham tembakau. Kami mengekalkan apa yang kami ada (pelaburan sebelumnya) dan pada masa yang sesuai kami akan menjualnya,” katanya.
Bagaimanapun, penjualan saham itu akan dilakukan pada harga yang wajar, katanya kepada pemberita pada taklimat media di sini, hari ini.
“Tiada tarikh masa (untuk menjual pegangan itu), apabila kami merasakan saham itu telah mencapai potensi penuhnya dan harga yang wajar, kami akan menjualnya,” katanya.  – Bernama 4 Feb 2016

Hemm…

Aku cadang para perokok tegar kat Malaysia ni tubuh konsortium dan beli saham KWSP dalam BAT ini. Mana tahu bila korang ada share dalam BAT boleh la cadang turunkan harga rokok di pasaran, atau sekurang-kurang dapat hisap rokok free.

Amacam?

Leave a comment